Pages

Sunday, February 7, 2010

Presiden Toyota berasa amat kesal

TOKYO - Presiden Toyota, Akio Toyoda semalam berasa amat kesal ekoran penarikan semula jutaan kereta buatannya di seluruh dunia kerana kerosakan pedal minyak selain menegaskan bahawa kenderaan syarikat itu adalah selamat.

Dalam sidang media pertama berkaitan masalah itu, Toyoda mengaku pihaknya kini berdepan krisis tetapi menganggap keselamatan pelanggan amat penting.

Toyota yang mengatasi syarikat General Motors pada tahun 2008 untuk menjadi pembuat kereta terbesar dunia kini berdepan dengan isu kualiti produk yang dikeluarkannya.

Cucu pengasas syarikat itu memberitahu, beliau benar-benar berasa amat kesal ekoran kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh semua pelanggannya.

"Percayalah saya, kereta Toyota adalah selamat," kata Toyoda.

"Pelanggan didahulukan merupakan keutamaan kami, percayalah," tambahnya.

Menurutnya, Toyota telah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dalaman bagi mengkaji masalah itu yang menyebabkan Amerika Syarikat (AS) dan Kongres AS meningkatkan tekanan ke atas syarikat Jepun.

"Berhubung masalah penarikan pedal minyak di AS, Eropah dan China, kerja-kerja persediaan pembaikan sedang dilakukan di pusat-pusat pengedaran kami," kata Toyoda.

"Sejurus selepas kerja-kerja persediaan selesai dilakukan, kami akan memberitahu anda," jelasnya.

Menurutnya, Toyota sedang melakukan kajian bagi mengkaji cara untuk mengendalikan masalah brek Prius hibrid berikutan terdapat ratusan aduan daripada pemandu.

"Bagi kereta-kereta Prius yang kini berada pada tangan pelanggan, saya telah mengarahkan supaya satu penyelesaian dilakukan dengan segera.

"Selepas keputusan dibuat, kami akan memberitahu orang awam," katanya.

Sebelum sidang akhbar itu, syarikat itu dilaporkan akan menarik kembali 270,000 unit Prius hibrid ekoran masalah brek di AS dan Jepun.

Namun, syarikat gergasi automotif itu turut melakukan siasatan berhubung masalah brek ke atas dua lagi model hibrid termasuk Lexus.

Seorang pegawai Kementerian Pengangkutan Jepun, Takayuki Fujimoto menyatakan pihak kerajaan masih belum menerima notis penarikan balik dari syarikat Toyota.

Toyota tidak boleh mengumumkan penarikan balik di Jepun sehingga ia memberitahu pihak kementerian. - Agensi

No comments:

Post a Comment