Pages

Saturday, November 20, 2010

Ciri terbaik sebuah SUV

SUV crossover mewah daripada Toyota ini mula dihasilkan sejak tahun 1998. Berada dalam keluarga RX, ia merupakan SUV yang popular di pasaran Amerika Syarikat (AS) sejak mula diperkenalkan di sana.

Di Malaysia, model ini lebih dibayangi oleh model Toyota Harrier. Antara faktor penting ialah harganya yang lebih murah. Berikutan spesifikasi enjin dan pelbagai ciri tambahan yang ada pada Lexus biasanya tidak terdapat pada Toyota Harrier.

Menyedari minat mendalam orang ramai terhadap jenama Lexus, UMW Toyota Motor Sdn Bhd. menubuhkan Lexus Malaysia pada tahun 2006. Model awal yang dipasarkannya ialah sedan mewah Lexus LS 460L and GS 300.

Lexus Malaysia kemudian memperkenalkan model SUV termasuklah RX 350. Optimis dengan kejayaan RX 350, ia memperkenalkan varian yang lebih kecil iaitu Lexus RX 270 baru-baru ini.

Model RX yang menggabungkan keselesaan pada sebuah kereta mewah dan keterujaan memandu SUV antara tarikannya.

Presiden Lexus Malaysia, Kuah Kock Heng menyatakan pengenalan RX 270 memberikan satu lagi pilihan kepada para pelanggan Lexus.

“Terutamanya bagi mereka yang inginkan kapasiti enjin lebih rendah pada harga berpatutan. Model ini juga dapat meningkat dan mengukuhkan lagi kedudukan Lexus dalam pasaran kenderaan SUV mewah tempatan,” jelas Kok Heng.


RX 270 dijana oleh unit enjin petrol DOHC empat silinder bersesaran 2.7 liter dengan sistem Dual VVT-i 16 injap serba baru. Enjin yang dihasil menggunakan aluminium sepenuhnya itu turut dilengkapi dengan Acoustic Control Induction System (ACIS).

Enjin itu didakwa mampu menghasilkan kuasa sehingga 138 kW dan tork maksimum 252 Nm. Ia telah dibangunkan secara khusus untuk mengurangkan bunyi bising, getaran, menjimatkan penggunaan bahan api, tahap pelepasan asap rendah dan prestasi yang tidak mengecewakan.

Kawalan bersepadu

Tidak berkompromi dengan kualiti pemanduan, Lexus RX 270 dilengkapi dengan Vehicle Dynamics Integrated Management (VDIM). VDIM merupakan satu sistem kawalan bersepadu canggih yang menggabungkan fungsi-fungsi keselamatan aktif. Ia berperanan membantu pemandu mengekalkan kawalan ke atas kenderaan dengan efektif.

Ruang kabin RX 270 pula sarat dengan kemasan berkualiti tinggi dan prestij, seperti yang boleh diperoleh daripada model RX 350. Bahagian dalamannya cukup luas bagi membolehkan semua penumpang menempuh perjalanan dengan selesa.

Menyentuh aspek jualan, Kock Heng memberitahu, sejak RX 350 dilancarkan pada Mac 2009, Lexus Malaysia telah menjual hampir 500 unit model tersebut, mewakili sebanyak 47 peratus jumlah keseluruhan jualan Lexus. Sehingga bulan September 2010, lebih 1,000 unit kenderaan Lexus telah berjaya dijual di Malaysia.

“Ini menjadikan Lexus RX sebagai model Lexus paling popular dan menerajui jualan bagi kategori SUV mewah bersaiz besar di Malaysia. Kami yakin RX 270 akan mendapat sambutan positif daripada para pelanggan,” katanya.

Lexus RX 270 ditawarkan pada harga RM340,000 seunit (atas jalan, tanpa insurans). Lexus Malaysia menyasarkan untuk menjual sebanyak 140 unit Lexus RX 270 setahun.

Alami sendiri dinamik pemanduan sebuah RX 270 di pusat pameran Lexus di Mutiara Damansara dan di Pulau Pinang. - Kosmo

No comments:

Post a Comment