BERITA KERETA
 


Advertisement

Wednesday, February 10, 2010

Keistimewaan Kia Forte

JENAMA Kia sering dianggap jentera yang kurang dari segi teknologi, kuasa, reka bentuk dan penjimatan minyak.

Kebanyakan model buatan Korea kurang mendapat perhatian berbanding model sedan Jepun yang lebih popular dan memiliki reka bentuk moden.

Bagaimanapun, pelancaran model Forte oleh NazaKia Sdn Bhd, baru-baru ini benar-benar menawarkan produk lebih bersifat global.

Peluang memandu uji model ganti bagi Spectra itu dari Pulau Pinang ke ibu kota membuktikan Kia mahu bersaing dengan jenama terkenal untuk segmen kelas C seperti Toyota Vios, Honda City, Nissan Latio dan Proton Gen.2.

Peluang memandu 1.6L SX memang berbaloi untuk kereta berharga RM81,800.

Ciri fizikalnya tegap, besar dan tinggi manakala reka bentuk lampu belakangnya seperti kereta mewah Jepun.

Gril hadapan lebar diapit dua lampu utama memanjang menampakkan bentuknya yang sporty serta lebar.

Ruang dalamannya turut diberi nafas baru dengan rekaan bentuk kerusi yang selesa.

Untuk masuk ke kabin, kunci tidak perlu dikeluarkan dari kocek. Pemandu hanya perlu berdiri di sebelah pintu dan tekan punat getah kecil pada pemegang.

Di ruang kabin, tekan sahaja butang 'Start/Stop' dan enjin boleh hidup, disertai dengan mainan iluminasi cahaya merah daripada konsul meter dan bawah papan pemuka.

Rekaan papan pemuka tersusun kemas memudahkan pemandu mengawal selain bantuan penyaman udara digital.

Memandu sekitar Georgetown sebelum ke Lebuh raya Utara Selatan (Plus) memang mengujakan.

Kia Forte dijana enjin 1.6L dengan DOHC, CVVT dan MPI menghasilkan 122 kuasa kuda (hp) pada 6,300 rpm dan tork pula pada 156Nm pada 4,200 rpm.

Sistem transmisi automatik empat kelajuan beroperasi dengan lancar dibantu sistem suspensi depan MacPherson serta torsion beam di belakang menjamin keselesaan penghuni.

Sistem audio enam pembesar suara menawarkan kelunakan bunyi sekali gus mengelak mengantuk terutama dalam perjalanan jauh.

Penggunaan skrin LCD dengan resolusi tinggi terang dan cantik dipandang adalah satu lagi keistimewaan Forte.

Forte dilengkapi empat pengesan sonik dipasang pada bampar belakang sementara grafik sistem ini dipaparkan pada skrin LCD ketika mengundurkan kereta.

Malah, lampu hadapan utama akan menyala secara automatik manakala cermin pandang belakang dari jenis electro-chromic mampu menangkis silauan lampu kereta.

Semua ciri ini hanya boleh didapati pada kereta mewah dan Forte menggunakannya untuk model yang bersifat pertengahan.

Kia Forte dilengkapi ciri keselamatan tinggi seperti dua beg udara, sistem head-rest aktif, sistem ABS empat roda, sistem kawalan stabiliti elektronik (ESC) dengan sistem kawalan cengkaman (traction control) dan lampu besar kawalan automatik (auto headlight).

Kesimpulannya, Kia Forte adalah kereta sedan paling berbaloi dimiliki berbanding mana-mana model keluaran Jepun dan tempatan buat masa kini.

SPESIFIKASI Kia Forte 1.6L SX Enjin: 1.6 DOHC MPI CVVT dengan Mechanical Lash Adjust Kuasa maksimum: 122hp pada 6,300 rpm Tork maksimum: 156Nm pada 4,200 rpm Transmisi: empat kelajuan auto dengan Shiftronic.

Harga: RM81,800 atas jalan termasuk insurans Tayar dicadangkan: ComfortContact-1 185/55 R15 82V - Mymetro

Sunday, February 7, 2010

Presiden Toyota berasa amat kesal

TOKYO - Presiden Toyota, Akio Toyoda semalam berasa amat kesal ekoran penarikan semula jutaan kereta buatannya di seluruh dunia kerana kerosakan pedal minyak selain menegaskan bahawa kenderaan syarikat itu adalah selamat.

Dalam sidang media pertama berkaitan masalah itu, Toyoda mengaku pihaknya kini berdepan krisis tetapi menganggap keselamatan pelanggan amat penting.

Toyota yang mengatasi syarikat General Motors pada tahun 2008 untuk menjadi pembuat kereta terbesar dunia kini berdepan dengan isu kualiti produk yang dikeluarkannya.

Cucu pengasas syarikat itu memberitahu, beliau benar-benar berasa amat kesal ekoran kesulitan yang terpaksa dihadapi oleh semua pelanggannya.

"Percayalah saya, kereta Toyota adalah selamat," kata Toyoda.

"Pelanggan didahulukan merupakan keutamaan kami, percayalah," tambahnya.

Menurutnya, Toyota telah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan dalaman bagi mengkaji masalah itu yang menyebabkan Amerika Syarikat (AS) dan Kongres AS meningkatkan tekanan ke atas syarikat Jepun.

"Berhubung masalah penarikan pedal minyak di AS, Eropah dan China, kerja-kerja persediaan pembaikan sedang dilakukan di pusat-pusat pengedaran kami," kata Toyoda.

"Sejurus selepas kerja-kerja persediaan selesai dilakukan, kami akan memberitahu anda," jelasnya.

Menurutnya, Toyota sedang melakukan kajian bagi mengkaji cara untuk mengendalikan masalah brek Prius hibrid berikutan terdapat ratusan aduan daripada pemandu.

"Bagi kereta-kereta Prius yang kini berada pada tangan pelanggan, saya telah mengarahkan supaya satu penyelesaian dilakukan dengan segera.

"Selepas keputusan dibuat, kami akan memberitahu orang awam," katanya.

Sebelum sidang akhbar itu, syarikat itu dilaporkan akan menarik kembali 270,000 unit Prius hibrid ekoran masalah brek di AS dan Jepun.

Namun, syarikat gergasi automotif itu turut melakukan siasatan berhubung masalah brek ke atas dua lagi model hibrid termasuk Lexus.

Seorang pegawai Kementerian Pengangkutan Jepun, Takayuki Fujimoto menyatakan pihak kerajaan masih belum menerima notis penarikan balik dari syarikat Toyota.

Toyota tidak boleh mengumumkan penarikan balik di Jepun sehingga ia memberitahu pihak kementerian. - Agensi

Sunday, January 31, 2010

Video Perodua Alza



Tuesday, January 26, 2010

Naza Lancar Empat Model Baru Peugeot Tahun Ini

KUALA LUMPUR: Kumpulan Naza merancang untuk melancarkan empat model baru kereta Peugeot tahun ini dan menetapkan sasaran jualan hampir 3,000 unit.

Pengerusi Eksekutif bersamanya, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, kumpulan itu menjual 3,766 kereta Peugeot tahun lepas, terdiri daripada 2,347 unit model 206 Bestari, 885 unit model 308, 491 unit model 407, dan 43 unit model 207.

"Tidak termasuk angka jualan 206 Bestari yang telah dihentikan pengeluarannya, jualan kenderaan Peugeot oleh Naza pada 2009 berjumlah 1,419 unit," katanya pada satu taklimat untuk media di sini hari ini, sempena lawatan Timbalan Pengarah Urusan Peugeot, Nicolas Wertans.

Kumpulan Naza adalah pengimport dan pengedar utama jenama kereta terkenal seperti Ferrari, Peugeot dan Brabus.

Menyentuh tentang sasaran jualan kenderaan bermotornya akhir tahun ini, SM Nasarudin berkata, kumpulan itu berharap dapat mencapai 25,000 hingga 26,000 unit daripada 16,000 unit tahun lepas.

"Bagi tahun ini, Peugeot akan mula mengeksport model baru T33 yang akan dipasang di Gurun, ke Thailand dan Indonesia," katanya.

Selain mengeksport T33, Peugeot juga telah mula membesarkan pejabat rantau Aseannya di Petaling Jaya untuk menyelaras operasi bagi keseluruhan rantau Asia Pasifik.

Wertans berkata, Peugeot dan Naza merancang untuk menjadikan Malaysia hab pembuatannya bagi kereta pemanduan sebelah kanan di Asia dan mengeksport kenderaan Peugeot yang dipasang di kilang Naza di Gurun, ke Thailand dan Indonesia.

"Kami berharap dapat menambah agihan pasaran kami di Malaysia kepada tiga hingga lapan peratus daripada satu peratus sekarang," katanya.

Wertans juga mengumumkan identiti jenama baru Peugeot sebagai sebahagian daripada rancangan pembuat kereta Perancis itu untuk meningkat tiga anak tangga dalam pasaran kereta dunia menjelang 2015.

Pada masa ini, Peugeot menduduki tempat ke-10 dalam pasaran automotif global dari segi saiz.

Unit Naza, Nasim Sdn Bhd, yang mengedar kenderaan Peugeot di Malaysia, baru-baru ini mengumumkan bahawa ia akan melaksanakan penjenamaan semula semua cawangan dan wakil jualannya berikutan pengumuman identiti jenama global baru pembuat kereta itu.

Penjenamaan semula itu melibatkan penggunaan logo dan identiti jenama baru Peugeot di semua cawangan dan wakil jualan Nasim di seluruh negara. - BERNAMA

Tuesday, January 12, 2010

Jualan kereta baru hilang momentum

KUALA LUMPUR - Persatuan Pengedar Proton Edar Malaysia (PEDA) menjangka penjualan kereta nasional kurang kompetitif pada tahun ini berikutan kekurangan rangsangan pembelian.

Presiden PEDA, Armin Baniaz Pahamin berkata, pasaran kini memerlukan rangsangan bagi membantu meningkatkan pembelian kenderaan terutama membabitkan kereta Proton.

Armin Baniaz dalam satu kenyataan di sini semalam menjelaskan, kereta Proton kini seperti kehilangan momentum selepas skim baucar RM5,000 tamat pada Oktober lalu.

"Selepas tempoh itu, tempahan kereta Proton merosot sebanyak 30 peratus terutamanya pesanan membabitkan model Saga," katanya. - Kosmo