Pages

Saturday, February 13, 2010

Proton pamer kenderaan hibrid

Kenderaan dibangunkan dengan kerjasama syarikat Itali, Italdesign Giugiaro

(Gambar:MODEL kereta konsep Proton yang diperoleh daripada laman web www.italdesign.it bakal dilancarkan pada Pameran Kereta Antarabangsa di Geneva.)

PROTON Holdings Bhd akan menampilkan kereta konsep hibridnya pada Pameran Kereta Antarabangsa ke-80 di Geneva, Switzerland bermula 2 Mac ini yang dibangunkannya dengan kerjasama syarikat Itali, Italdesign Giugiaro.

Ia dijadualkan dilancarkan Bekas Perdana Menteri dan Penasihat Proton, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Italdesign Giugiaro, firma automotif berpangkalan di Turin, adalah syarikat perkhidmatan bebas yang menyediakan sokongan reka bentuk, kejuruteraan dan sokongan lain untuk menghasilkan produk atau model kenderaan baru.

Firma itu sebelum ini pernah terbabit menghasilkan beberapa kereta ternama lain seperti Alfa Romeo Alfasud, BMW Nazca C2 Spider, Bugatti EB118 Concept, Ferrari GG50, Ford Mustang –1965, Lotus Esprit –1972 Concept, dan Maserati 3200 GT.

Pengarah Urusan Proton, Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamad Tahir, berkata kerjasama dengan syarikat Itali itu adalah sebahagian strategi jangka panjang pengeluar kereta nasional itu untuk mencapai standard automotif global.

Katanya, ia juga akan membantu Proton mengembangkan kehadiran dan jenamanya di seluruh dunia.

Syed Zainal berkata, kereta konsep hatchback lima pintu dengan empat tempat duduk Proton itu akan menampilkan enjin endothermic yang dipasang di hadapan, khusus bagi mengecas bateri ion litium untuk menghasilkan janaan kuasa elektrik.

Katanya, kereta konsep direka berdasarkan sistem hibrid itu turut menampilkan casis rekaan khusus yang boleh menempatkan enjin konvensional serta bateri sistem hibrid di bahagian belakang.

Beliau berkata, kereta konsep itu turut direka untuk memaksimumkan lagi ruang sambil mengekalkan konsep kereta kompak.

"Kereta konsep itu direka dengan sasaran memaksimumkan ruang dalaman dan memudahkan untuk keluar dan masuk.

"Kedudukan kerusi boleh diselaras mengikut kesesuaian bagi penumpang memanfaatkan lagi ruang dalamannya. Ia adalah kombinasi dua spesifikasi teknikal, mudah untuk memasukinya susulan ketinggian kerusi sama dengan kerusi di dalam kenderaan pelbagai guna sukan (SUV)," katanya. - Bharian

1 comment:

  1. layari http://prodas.wordpress.com/
    byk info tentang automotif proton

    ReplyDelete