Pages

Saturday, February 27, 2010

Nissan Sylphy

Penyaman udara beroperasi automatik

KERETA dilengkapi sistem navigasi atau GPS memang berguna untuk memudahkan perjalanan selain menjimatkan minyak.

Baru-baru ini, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd memperkenalkan Nissan Sylphy yang dilengkapi sistem navigasi sebagai aksesori pilihan.

Penambahannya membolehkan model itu bersaing bersama beberapa model lain yang lebih mewah.

Pandu uji sekitar ibu kota dan beberapa jalan negeri menunjukkan sistem berkenaan beroperasi lancar dengan memaparkan imej mudah difahami.

Skrin sentuhan membolehkan pemandu atau penumpang menggunakan sistem berkenaan dengan mudah.

Sistem navigasi bersaiz tujuh inci itu menjadikan Nissan Sylphy yang dikenali sebagai Bluebird di Jepun ini hampir sempurna sebagai sebuah kenderaan keluarga.

Lampu hadapan besar CSR (Complex Surface Reflector) membolehkan cahaya dipantulkan 50 peratus lebih terang daripada biasa selain dilengkapi fungsi nyalaan automatik.

Malah, 'tanduk' kecil di lampu hadapannya bagi memudahkan pemandu memasuki tempat meletak kenderaan.

Ruang dalam amat luas dan mampu memuatkan lima dewasa walaupun jentera ini dalam kategori Segmen C.

Seluas 2,115 milimeter (mm) dan 1,210mm tinggi dengan saduran kulit membolehkan penumpang selesa ketika menempuh perjalanan jauh.

Selain itu, konsol tengah dengan kapasiti 9.7 liter membolehkan sebuah beg tangan 'disorokkan' daripada perhatian penjenayah.

Papan pemuka kini kelihatan padat dengan sistem navigasi yang juga berfungsi sebagai kamera undur.

Sistem pendingin hawa yang beroperasi secara automatik selain dilengkapi dengan lapisan kaca standard menghalang 87 peratus sinaran UV menambah keselesaan penumpang.

Sistem audio enam pembesar suara juga menjadikan kenderaan terbaru Nissan ini sempurna untuk sebuah keluarga yang mahukan sebuah jentera lengkap.

Dari segi prestasi, enjin 2.0L dengan teknologi Nissan Xtronik CVT (Transmisi Boleh Ubah Berterusan) menjadikan Sylphy sebuah jentera yang menjimatkan dengan penggunaan minyak sejauh 16 kilometer bagi satu liter petrol.

Malah, teknologi Xtronik CVT ini membolehkan penumpang tidak perasaan setiap kali pertukaran gear dilakukan.

Enjin aluminium generasi ketiga Nissan ini membolehkan jentera dipacu selaju 110 kilometer sejam (km/j) dengan putaran di bawah 2,500 rpm.

Dengan 133 kuasa kuda dan tork setinggi 191 Nm, Sylphy menjadi sebuah sedan yang cukup bertenaga, berkuasa serta bergaya.

Sistem suspensi juga lembut, bertepatan dengan rekaannya yang dikhususkan untuk keluarga.

Jika mahu beraksi ligat di jalan raya, Sylphy Impul mampu memberi tindak balas lebih baik di selekoh.

Dengan harga serendah RM120,380 termasuk insurans bagi pakej bersama sistem navigasi, Sylphy dijangka mendapat sambutan sama bagi mereka yang mahukan jentera sempurna bagi sebuah keluarga.

SPESIFIKASI
NISSAN SYLPHY 2.0L
Enjin: 1,997cc DOHC dengan Xtronik CVT
Kuasa maksimum: 133hp pada 5,200 rpm
Tork maksimum: 191Nm pada 4,400 rpm
Ciri keselamatan: ABS, EBD, BA, Beg Udara SRS
Harga: RM120,380 termasuk insurans

Tayar dicadangkan
ComfortContact-1
195/65 R15 91V

No comments:

Post a Comment