Pages

Thursday, December 10, 2009

Gahnya Citroen C5

PERTAMA kali melihat jentera Citroen C5, buah tangan terbaru Brooklands Motors Sdn Bhd ini, mungkin tiada yang istimewa melainkan seperti sedan keluaran Perancis yang lain.

Namun, apabila memasuki ruang kabin dan mengujinya selama empat hari, tanggapan penulis meleset.

Bersaiz 4.78 meter (m) panjang, 1.86m lebar dan 1.45m tinggi, C5 adalah model terbesar dalam kelasnya.

Bentuk fizikalnya mampu membenamkan model lain dalam kelasnya. Ruang hadapan dihiasi dengan sepasang lampu teknologi HID dalam perumah projektor menawarkan penglihatan jelas ketika pemanduan malam.

Gril hadapan lebar dihiasi logo 'Boomerang' berkembar jelas menunjukkan Citroen mahu mengembalikan kegemilangan era sedannya sekitar 80-an.

Ketelitian jurutera Perancis mereka bentuk C5 jelas apabila alur aerodinamik kelihatan selari dengan bentuk tubuh sehingga sukar menemui sebarang bucu tajam 90 darjah.

Sekilas pandang, lampu belakang hampir menyamai model terkenal dari Jerman, tetapi cermin belakang melengkung ke dalam menjadi lambang ketinggian teknologi Perancis.

Memasuki kabin, rekaan tempat duduk hadapan dan belakang bersama panel pintu berkulit mewah nyata unik.

Butang kawalan padat hampir memenuhi keseluruhan papan pemuka, tetapi ia boleh dikawal melalui stereng statik pada bahagian tengah walaupun diputar.

Paparan meter pintar memberitahu pemandu setiap maklumat penting seperti jarak perjalanan, kegunaan minyak atau kerosakan salah satu sistemnya.

Malah, pemandu dapat maklumat seperti tekanan angin tayar jika menekan butang info di kanan stereng.

Paling menarik, kerusi pemandu didatangkan dengan mesin urut dan penulis mengharungi kesesakan jalan raya serta menikmati perjalanan jauh dengan lebih bertenaga.

Selain itu, lampu poket sisi pada panel pintu hadapan akan menyala secara automatik apabila tangan dihulurkan.

Citroen C5 dijana enjin 2.0L 16 injap yang menawarkan 143 kuasa kuda (hp) pada 6,000 rpm manakala tork setinggi 148 Nm pada 4,000 rpm yang hadir bersama transmisi automatik empat kelajuan.

Identiti Citroen sering kali dikaitkan dengan sistem suspensi hidrolik yang membolehkan kenderaan di tinggi atau direndahkan secara automatik.

Sistem suspensi, Hydractive 3 Plus membolehkan C5 ditinggikan atau direndahkan mengikut permukaan jalan.

Walaupun menggunakan enjin berkuasa 2.0L, pemanduan di lebuh raya tidak mengecewakan apabila jentera sedan ini mampu mencecah kelajuan kira-kira 200 km/j.

Pemanduan di laluan berliku tidak memberi masalah kerana Citroen antara jentera paling stabil.

Laluan selekoh di sepanjang Lebuh raya Karak ditawan tanpa sebarang buangan melampaui memecut laju.

Tidak hairanlah jentera Citroen banyak menguasai perlumbaan rali di Eropah. Ruang kabin senyap dengan lima penumpang dewasa selesa di dalamnya.

Aspek keselamatan, model C5 dilengkapi pelbagai sistem EBA's (Electronic Brakeforce Assistance and Emergency Braking Assistance), ABS (Antilock Brake System) dan ESP (Electronic Stability Program) serta tujuh beg udara.

Berharga RM199,028.50 (tanpa insurans), Citroen C5 berbaloi dimiliki kerana kehebatannya berbeza daripada mana-mana model sedan di pasaran. Kenderaan ini mendapat jaminan dua tahun atau 100,000 kilometer.

SPESIFIKASI

Model: Citroen C5

Enjin: 1,997 cc empat silinder 16 injap

Kuasa Maksimum: 143 hp pada 6,000.

Tork Maksimum: 148 lb.ft pada 4,000 rpm

Ciri Keselamatan: tujuh beg udara, ESP, ABS, EBD dan EBA,s

Harga: RM 199,028.50 (tanpa insurans)

Tayar dicadangkan: 245 / 45 R18

No comments:

Post a Comment