Pages

Monday, December 14, 2009

Eksperimental DNA Honda

BERTEMAKAN "Driving the Honda's DNA", Honda Malaysia Sdn. Bhd. baru-baru ini menganjurkan sesi pandu uji di Litar Antarabangsa Sepang. Tujuannya hanya satu, mahu setiap wartawan yang mengambil bahagian merasai sendiri DNA produk Honda. Selain itu, ia menguji potensi maksimum enjin i-VTEC serta teknologi keselamatan termaju yang ada pada semua model Honda.

Kami semua dibahagikan kepada empat kumpulan berbeza yang dikod menggunakan warna. Ini bagi memastikan semua peserta tidak tercicir daripada menyertai keempat-empat aktiviti yang sudah dirancang dengan rapi.

Dikelompokkan ke dalam kumpulan berwarna ungu, saya dan rakan-rakan bermula dengan sesi kawalan gelincir (skid control) di satu kawasan lapang berhampiran litar. Lengkap memakai sarung kepala berwarna hitam (balaclava) dan topi keledar, seorang demi seorang masuk ke dalam model Honda Jazz atau Accord yang tersedia.

Memandu Honda Jazz berwarna putih, pemandu memecut pada kelajuan sekitar 70 kilometer sejam, sebelum membelok ke arah kanan. Intruktor yang ada bersama akan menarik brek tangan (itulah yang kurang seronoknya).

Ini akan membuatkan kereta hilang kawalan dan tayar belakang mula membuang. Pemandu perlu pantas mengawal stereng supaya kereta kembali berada dalam 'landasan' dan tidak melanggar kon.

Sesi itu bertujuan mengajar pemandu supaya tidak panik dan bijak mengawal stereng jika situasi sama berlaku di jalan raya sebenar. Ia juga membuktikan kestabilan pemanduan yang mampu ditawarkan oleh Jazz dan Accord.

Selepas pening 'berpusing', kumpulan ungu bergerak ke litar untuk memandu uji model-model seperti Civic, City dan Accord di atas trek. Kami kemudiannya perlu mencabut nombor yang menentukan apakah model bakal dipandu uji nanti.

Posisi memandu

Pastinya model yang mahu dipandu oleh semua ialah Civic Type-R. Saya bertuah kerana ia berada dalam senarai, selain model City dan Accord. Memang dibina berorientasikan perlumbaan di trek, Civic Type-R berupaya memasuki selekoh dan memecut dengan cemerlang. Tanpa rasa bimbang, enjin i-VTEC itu diperah sehabisnya.

Cuma, trek bahagian utara sepanjang 2.75 kilometer yang dibuka itu terasa amat pendek jaraknya. Ini membuatkan ramai yang keluar dari kereta dengan rasa kurang puas.

Di pit, kami juga diajar tentang kedudukan yang betul ketika memandu. Sebagai contoh, untuk mengukur jarak yang betul ketika memegang stereng, pemandu perlu meletakkan pergelangan tangan di bahagian atas stereng. Kaki juga harus berada dalam keadaan sedikit membengkok, selain dapat menekan pedal minyak serta brek dengan efisyen.

Selain itu, ketika anda duduk pastikan tiada ruang kosong antara bahagian belakang tubuh dengan tempat duduk. Posisi duduk yang betul ketika memandu penting kerana ia boleh mengurangkan keletihan, di samping mengelakkan kecederaan parah andai berlaku kemalangan.

UJian slalom

Menggunakan model SUV popular Honda CR-V, kami perlu melakukan catatan masa terbaik dalam ujian slalom. Setiap peserta diberi peluang sebanyak tiga kali. Pertama untuk menyesuaikan diri dengan halangan slalom, sementara percubaan kedua dan ketiga akan diambil masa terbaiknya.

Walaupun halangannya tidaklah terlalu mencabar (tiada seorang pun yang terlanggar kon), harus diingat bukan mudah untuk mencatat masa terpantas. Kemahiran dan ketepatan ketika 'mencelah' di antara kon pada kelajuan tinggi amat kritikal.

Lebih penting lagi, habuan yang ditawarkan cukup lumayan. Seramai 10 orang pemenang bertuah diberikan pelbagai hadiah seperti cakera keras luaran (external hard disc), kamera, telefon bimbit, sistem audio rumah serta televisyen LCD 32 inci!

VSA dan ABS

Ujian bagi kumpulan ungu berakhir di trek basah dan licin. Di sana, plastik yang disimbah dengan air menjadi medan menguji keberkesanan sistem keselamatan iaitu VSA (Vahicle Stability Assist) dan ABS (Antilock Braking System). Menggunakan model Accord 2.4 dan Stream RSZ, apa yang perlu dibuat ialah menekan brek sekuat hati apabila kenderaan tiba di tempat licin.

Pemandu akan mendapati VSA berfungsi dengan mengawal kenderaan daripada terbabas. Namun begitu, kawalan stereng yang betul juga penting bagi memastikan kereta tetap berada dalam ruang lingkungan kon yang telah disusun.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Honda Malaysia Toru Takahashi dalam ucapannya menyatakan kesemua lapan model yang dipasarkan di Malaysia berkongsi identiti dan karekter sama. Apa lagi kalau bukan prestasi, gaya dan praktikaliti.

"Honda berbangga kerana mampu memenuhi ekspektasi, keperluan da permintaan segmen pasaran yang berbeza dengan satu DNA Honda. Ia meliputi keupayaan kejuruteraan, pemanduan yang disempurnakan dan versatiliti.

"Melalui empat aktiviti berbeza pada hari ini, saya berharap anda semua berpuas hati dengan pengalaman mengendalikan model-model Honda yang dilengkapi pelbagai teknologi termaju," katanya yang disambut oleh tepukan gemuruh.

Kesimpulannya, walaupun setiap model dibangunkan untuk memenuhi kehendak pasaran berbeza, Honda tetap berjaya menyelitkan formula yang menjadikan produknya antara yang terbaik dalam kelasnya. - Kosmo

No comments:

Post a Comment