Tuesday, November 24, 2009
Perodua Alza jadi model terlaris
KUALA LUMPUR 23 Nov. - Selepas 10 hari tempahan awal dibuka menjelang pelancaran model baru kenderaan pelbagai guna (MPV) pertama keluaran Perodua hari ini, sejumlah 3,500 buah berjaya dijual.
Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), Datuk Syed Abdull Hafiz Syed Abu Bakar berkata, MPV itu yang berupa 'MPV-kereta' dikenali dengan nama Perodua Alza, disasarkan menjadi model terlaris di pasaran selepas model ViVa dan MyVi.
Katanya, buat permulaan 50 buah Perodua Alza akan berada di atas jalan esok dan tempoh penghantaran untuk pembeli dijangka mengambil masa tiga bulan.
Bagaimanapun, beliau menambah tempoh tiga bulan adalah masa paling maksimum dan Perodua mampu membuat penghantaran awal sebaik sahaja pengeluarannya berada di peringkat maksimum.
"Daripada jumlah 3,500 buah yang ditempah itu, 20 peratus pembelinya memilih transmisi automatik yang mewakili pembeli bujang dan 80 peratus pula memilih versi premium manual manakala transmisi automatik mewakili golongan pembeli berkeluarga dari umur 30 hingga 40 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena pelancaran model Perodua Alza yang dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di sini hari ini.
Perodua Alza yang dibangunkan dengan kos RM300 juta dan dijangka pulang modal dalam tempoh dua tahun, sebagai pelengkap kepada rangkaian produk Perodua sebelum ini iaitu kereta Viva dan juga MyVi.
Ia merupakan gabungan model kereta Toyota Passo Sette dan Daihatsu Luminas dan dijangka memperoleh jualan sehingga 4,000 buah sebulan.
Perodua Alza dijual pada harga antara RM56,000 hingga RM65,000.
Versi yang dipertingkatkan pula akan berada di pasaran menjelang Mac tahun depan dan harganya pula RM6,000 lebih mahal berbanding harga model lain.
Menurut Abdull Hafiz, tempahan dijangka meningkat selepas pelancarannya hari ini di kesemua 180 buah cawangan di seluruh negara.
Beliau berkata, pihaknya telah meningkatkan jumlah pengeluaran semasa dalam usaha memenuhi tempahan model terbaru itu dan berharap para pembeli tidak perlu menunggu begitu lama untuk mendapatkan kenderaan mereka.
Mengulas lanjut katanya, Perodua Alza dijangka menyumbang kepada peningkatan penguasaan pasaran Perodua di Malaysia kepada 31.5 peratus pada tahun depan berbanding 31.1 peratus pada 2008.
"Jumlah keseluruhan industri bagi segmen MPV ketika ini ialah dalam lingkungan 40,000 dan dijangka dengan kemasukan Alza pertambahan pasaran akan meningkat sehingga 30 peratus," katanya. - Utusan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment