Pages

Saturday, October 24, 2009

Proton yakin jual 155,000 kereta

SHAH ALAM 22 Okt.- Syarikat pembuat kereta nasional, Proton, yakin akan mencapai jualan tahunan sebanyak 155,000 unit menjelang Mac 2010 berdasarkan sentimen pasaran terkini.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn. Bhd., Mohamad Shukor Ibrahim berkata, bagi enam bulan pertama berakhir September 2009, jualan kereta telah melepasi sasaran awal iaitu 73,000 unit.

Proton Edar adalah cabang pengedaran utama Proton Holdings Bhd. (Proton).

"Pasaran adalah menggalakkan dengan tanda-tanda keyakinan pelanggan dalam pasaran automotif," kata Shukor ketika majlis penyampaian hadiah kepada pemenang peraduan Proton Drive for Cash.

"Keyakinan dan penerimaan dalam pasaran telah meningkat dan ini jelas dalam peningkatan jumlah jualan," katanya.

Sungguhpun selepas musim perayaan, Shukor berkata, masih banyak tempahan terus diterima.

Beliau juga menekankan bahawa pembeli kereta kini mula menyedari bahawa Proton telah meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatannya, terutama sekali bagi model Persona, Saga dan Exora.

Mengenai peraduan itu yang berlangsung mulai Jun hingga Ogos, Shukor berkata, ia telah mencapai objektifnya kerana jualan kereta bagi Jun dan Julai telah masing-masing mengalami peningkatan kepada 14,065 unit dan 15,809 unit.

Ini, katanya, telah meletakkan Proton di tangga teratas bagi penjualan kereta Malaysia bagi bulan-bulan tersebut.

Pemenang bulanan, yang memenangi RM20,000 setiap seorang adalah Tan Kay Pau dari Batu Pahat (Jun), Loh Kam Fook dari Kuantan (Julai) dan Lim Tzaw Feng dari Johor Bahru (Ogos).

Pemenang Hadiah Utama Anisah Alias dari Kota Bharu yang membeli sebuah Persona 1.6L, memenangi RM50,000 untuk slogan ciptaannya.

Mengenai perkembangan kemungkinan perkaitan dengan rakan niaga asing, Shukor berkata, peluang sentiasa ada untuk kerja sama dan pihaknya melihat ke arah penggabungan produk.

"Kami juga melihat bagaimana rakan niaga boleh membuat penambahan nilai untuk kami," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment