![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEigoqLR7QzKsYhk5-cNdpf4k6rsG58CWSbfGIWeaOjFGeYWM2h404dV1zxAjM8-aqJqu9OabkBtkTK1hj4kLeSaqnPcxQUvC7Gl9mZ7B-bikGdgxcUh_vAhpFdcahI2v5wLy8OIVA1Maolu/s400/mainpix.jpg)
MODEL Honda paling popular, Civic yang mendominasi segmen kenderaan Kelas C memang menjadi idaman segelintir anak muda sejak beberapa dekad lalu.
Reka bentuk yang dianggap ‘setapak ke hadapan’ itu sentiasa menawarkan prestasi dan kepuasan pemanduan yang jarang dimiliki pembuat kenderaan lain.
Model Civic pertama yang dilahirkan pada 1972 itu memiliki rupa, gaya, kuasa, prestasi selain praktikal dan ekonomi dalam penggunaan bahan api.
Sesi pandu uji kali ini dilakukan dengan memandu Honda Civic generasi kelapan versi 2009 yang dipertingkatkan.
Sekilas pandang memang sukar melihat pembaharuan diterima model Civic yang dibangunkan supaya menjadi lebih eksklusif.
Memasuki ruang dalamannya jelas menampakkan ciri sejati jentera buatan Jepun yang futuristik dan kemas.
Rekaan papan pemuka dua tingkat yang memisahkan panel meter kepada dua bahagian iaitu meter kelajuan digital, minyak dan suhu diletakkan di tingkat atas manakala bahagian bawah didiami pelbagai petunjuk lain termasuk meter enjin.
Paparan kelajuan dan maklumat kenderaan jelas dan mudah tanpa perlu mengalihkan pandangan daripada terus melihat ke hadapan.
Sistem audio dan penyaman udara yang menghiasi ruang tengah kenderaan tampak bergaya dengan butang kawalan yang jelas.
Konsul tengah pula menempatkan beberapa ruang bertutup untuk pemandu menyimpan barangan peribadi selain ruang barang di bawah tempat meletak tangan.
Tetapi, butang kawalan audio di kaki stereng sudah memadai untuk pemandu mendengar alunan muzik kegemaran.
Ruang dalaman tampak mewah dengan fabrik dan konsol dwiwarna iaitu biru/kelabu menjadikan ruang dalamannya lebih segar dan luas .
Jentera pandu uji ini dibekalkan dengan enjin 2.0L DOHC i-VTEC yang berkuasa selain kit tulen Modulo tampak sporty.
Dari sudut luaran, perumah lampu hadapan utama gelap menjadikan Civic lebih bergaya manakala bampar direka lebih lebar bersama salutan krom gril hadapan terbaru.
Ruang hadapan dipertingkatkan dengan padanan lampu kabus berbentuk bujur telur bagi mengelak gangguan silau kepada pejalan kaki.
Lampu belakang dipasangkan dengan lensa LED berbentuk oktagon berbanding bulat pada model sebelumnya.
Keselesaan pemanduan dan pengendalian kenderaan lebih selesa dengan penggunaan teknologi dwiwishbone bagi suspensi belakang, disempurnakan dengan penggunaan tegas MacPherson di bahagian depan.
Pengambilan selekoh tetap stabil hasil teknologi VSA (Vehicle Stability Assist) yang menstabilkan kenderaan di selekoh tajam dan meningkatkan kemampuannya dalam menangani kehendak pemanduan prestasi tinggi.
Hasilnya, pemanduan yang stabil dan meyakinkan, dengan kuasa pemberhentian yang mencukupi dibantu sistem pengagihan brek elektronik EBD dan juga brek antikunci ABS.
Bagi mereka yang mahukan pemaduan sporty, model pandu uji ini dipadankan dengan pilihan gear automatik lima kelajuan dan mod Sports (S) yang membolehkan pemanduan agresif dengan pilihan penukaran gear secara tuil ala F-1.
Enjin berkuasa 1,998cc ini mampu menjana kuasa yang diinginkan pada julat rpm yang sekata, dengan pengubahan gear lancar dan tidak melompat atau tersengguk-sengguk.
Jelas Honda tetap mengutamakan keselesaan penumpang agak nyata diutamakan dalam pembuatan kenderaan ini.
Jika masih tidak berpuas hati dengan prestasi model ini, mungkin Civic Type-R adalah jawapan sesuai.
Bagaimanapun, model Civic 2.0L ini sesuai bagi mereka yang memiliki keluarga kecil tetapi mahukan jentera berjenama Jepun, berkuasa dan eksklusif.
Berharga RM134,980 termasuk insurans, hanya mereka yang benar-benar berduit mampu melabur untuk memiliki Civic 2.0L.
SPESIFIKASI
Honda Civic 2.0L
Enjin: Empat silinder 16 injap DOHC i-VTEC 1,998cc PGM-FI
Kuasa maksimum: 153hp pada 6,500rpm
Tork maksimum: 188Nm pada 4,500rpm
Transmisi: Lima kelajuan automatik dengan Paddle Shifter
Ciri keselamatan: Beg udara, ABS, VSA, EBD
Harga: RM134,980 (termasuk insurans)
Tayar dicadangkan: Conti SportContact-1 215/45 R17 87V- Mymetro
No comments:
Post a Comment