Pages

Thursday, December 31, 2009

Nissan Navara

Ibu segala trak

PERLUMBAAN menghasilkan pelbagai variasi trak pikap tidak akan berakhir.

Selain Thailand menjadi 'lubuk' kenderaan trak pikap, Malaysia tidak terkecuali.


Dulu, jentera itu hanya ditemui di kawasan pembalakan atau hutan, tetapi kini membanjiri jalan utama di seluruh negara.

Selepas pengenalan model pikap terbesar dalam kelasnya, Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) melakar sejarah memperkenalkan Nissan Navara transmisi manual enam kelajuan.

Nissan Navara, trak utiliti sukan (SUT) adalah pikap bersaiz penuh yang memiliki casis sama seperti kembarnya, Titan yang laris di pasaran Amerika Syarikat.

Tidak hairanlah Navara digelar 'ibu segala trak' kerana bentuk fizikalnya yang besar, lebar dan luas. Model manual ini tidak banyak berbeza dengan versi automatik.

Sepanjang 5,230 milimeter (mm) dan 1,850 mm lebar, Navara adalah trak yang tegap, besar dan maskulin.

Ditambah gril hadapan krom yang lebar bersama padanan lampu hadapan besar, memandu Navara nyata berbeza.

Bahagian sisi dilengkapi pemijak bagi memudahkan pemandu dan penumpang keluar masuk selain menjadi penghadang kepada bahagian tepi Navara.

Ruang barang seluas 1,480 x 1,494 mm dianggap besar, tetapi ketiadaan palang belakang menjadikannya nampak ringkas dan kurang menarik berbanding pesaingnya.

Ruang dalaman berwarna coklat dengan dengan kerusi daripada fabrik kain tetap kelihatan kemas berbanding versi automatik yang didatangkan dengan balutan kulit.

Papan pemuka ringkas dengan butang kawalan audio dan penghawa dingin perak menjadikannya unik. Ia turut dilengkapi tombol gear manual dengan dengan angka '6'.

Ia boleh memuat lima penumpang dewasa dengan selesa walaupun perjalanan jauh. Namun, kerusi penumpang belakang yang menegak memberi sedikit masalah.

Sistem suspensi antara yang terbaik bagi kenderaan pikap kerana penulis tidak 'terlompat-lompat' di jalan berbatu.

Ia menggunakan enjin diesel suntikan terus common-rail YD25DDTi berkuasa tinggi, versi automatik lima kelajuan.

Tetapi padanan transmisi manual memberi kelebihan daripada segi tork dan penjimatan bahan api.

Menggunakan sistem 'Variable Nozzle Turbocharger' dan Intercooler, kuasa maksimumnya ialah 174 ps dan tork maksimum setinggi 403Nm.

Sistem imbangan shaft enjin membantu mengurangkan kadar bunyi, gegaran dan kekasaran (NVH) enjin.

Model baru ini turut mengetengahkan ciri 'Ubah Ketika Bergerak' 4WD yang dikawal secara elektronik dan Perbezaan Terbabas Terhad (LSD).

Ini membolehkan ia berubah antara 2WD dan 4WD menggunakan dail tanpa perlu memberhentikan kenderaan pada kelajuan 100 km/j.

Navara manual dilengkapi dua beg udara SRS depan bagi menambah perlindungan penumpang ketika perlanggaran hadapan dan ABS (Sistem Anti Kekunci Brek) dengan EBD (Edaran Kuasa Brek Elektronik) membolehkan pemberhentian lebih cepat serta selamat dalam semua keadaan.

Berharga RM95,184.71 dengan insurans, Nissan Navara mungkin menjadi SUT berbaloi untuk perjalanan seharian di kota atau mengharungi laluan lasak pada hujung minggu.

SPESIFIKASI

Nissan Navara

Enjin: YD25DDTi diesel, DOHC empat silinder 16 injap

Kuasa maksimum: 174ps pada 4,000rpm

Tork maksimum: 403Nm pada 2,000rpm

Transmisi: Manual enam kelajuan

Ciri-ciri keselamatan: Dua beg Udara SRS, EBD dan ABS

Harga: RM95,184.71 dengan insurans

Tayar dicadangkan: ContiCrossContact LX 265/70R16 112T - mymetro

No comments:

Post a Comment